Wednesday, June 10, 2009

AKHIRNYE TAMBANG NAIK JUGAK!!!!!!!!!!

Surcaj 30% diserap ke dalam tambang bas

SEREMBAN 9 Jun – Kadar surcaj 30 peratus yang dikenakan kepada penumpang oleh syarikat-syarikat bas ekspres sejak Hari Raya Aidilfitri lalu sedang dipertimbangkan untuk dikekalkan sebagai sebahagian daripada tambang bas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ketika ini kerajaan masih membenarkan surcaj itu selepas mendapat permohonan syarikat bas terbabit.

Menurutnya, kerajaan sedang menimbangkan supaya sebarang kenaikan tambang selepas ini mengambil kira surcaj yang dibenarkan oleh kerajaan sebelum ini supaya nilainya tidak akan membebankan rakyat.

“Kalau ada kenaikan, ia dibuat paling minimum. Kenaikan pada angka besar tidak boleh dilakukan waktu terdekat ini dan ia tidak boleh melebihi surcaj tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Surat Tawaran Kelulusan (STK) Lesen Teksi dan Kereta Sewa Individu peringkat negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kadar tambang bas ekspres itu, Mohamed Nazri berkata, sebagai contoh, tambang sehala bas ekspres dari Seremban ke Kuala Lumpur sebelum ini ialah RM4.70 tetapi menjadi RM6 selepas surcaj dibenarkan ketika hari raya yang lalu.

Menurutnya, sehingga kini surcaj tidak pernah dikurangkan dan masih kekal pada paras RM6 untuk laluan tersebut.

“Jika kita mahu umumkan kenaikan tambang baru selepas ini, nilainya akan seminimum yang boleh. Mungkin cuma RM6.10 atau RM6.20 (untuk Seremban-Kuala Lumpur).

“Jadi dengan contoh ini, kemungkinan ia naik 10 sen atau 20 sen,” kata beliau.

Menurut beliau, sebarang perkembangan berkaitan kenaikan tambang bas dan teksi sedang diperhalusi oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) selain mendapatkan pandangan beberapa kementerian.

“Kita sedang menunggu maklum balas beberapa kementerian berhubung perkara ini dan apabila ia selesai, kita akan bawa kepada Kabinet untuk kelulusan,” ujar beliau.

Sebelum ini Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Se-Malaysia (PMBOA) mahu kerajaan menaikkan kadar tambang bas ekoran peningkatan kos operasi termasuk kos penyelenggaraan, alat ganti dan upah pemandu, serta kenaikan harga minyak.

Kali terakhir semakan tambang dibuat pada 2005, iaitu ketika itu harga diesel 65 sen seliter.

No comments:

Post a Comment